TIPS : KANAK-KANAK

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak

9:00 PM

Sebagai ibu bapa, banyak yang anda boleh lakukan untuk menyemaikan tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda. Anda yang menentukan apa yang perlu dimasak dan dihidangkan untuk keluarga anda. Ini adalah kerana anda merupakan orang yang paling berpengaruh dalam kehidupan mereka, dan paling layak untuk menggalakkan tabiat makan yang sihat.

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak


Lebih penting lagi, anda berpeluang untuk menunjukkan teladan yang baik. Anak-anak menganggap anda sebagai suri teladan. Lantaran itu, anda boleh memainkan peranan paling berkesan dalam usaha melentur anak-anak dan membiasakan mereka dengan tabiat makan yang sihat, baik di rumah mahu pun di luar. Setelah menerapkan amalan ini dalam diri mereka, anda tidak perlu lagi bimbang tentang kemungkinan mereka membuat pilihan makanan yang salah.

Malangnya, masih terdapat ramai ibu bapa di Malaysia yang tidak berusaha untuk memberi anak-anak mereka makanan yang berkhasiat dan menanamkan tabiat makan yang baik sejak mereka kecil, atau apabila mereka mula bersekolah.

Adakah kanak-kanak Malaysia mengalami masalah pemakanan?

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak

Kebanyakan kanak-kanak Malaysia mendapat makanan yang secukupnya. Walau bagaimanapun, masih terdapat juga ramai kanak-kanak yang mungkin mengalami masalah malpemakanan. Masalah ini timbul sama ada disebabkan mereka tidak mendapat kalori dan nutrien secukupnya atau mereka mengambil makanan secara berlebihan. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) III yang dijalankan di seluruh negara pada 2006, satu daripada lima kanak-kanak kita mengalami masalah pemakanan, dengan berat badan dan ketinggian yang tidak sepadan dengan usia mereka.

Makan secara berlebihan

Kumpulan kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan adalah mereka yang berumur antara 7 hingga 13 tahun. Kanak-kanak yang makan secara berlebihan akan menjadi gemuk apabila dewasa. Kajian menunjukkan bahawa keadaan ini boleh meningkatkan risiko mereka menghidap penyakit seperti diabetes (kencing manis) dan hipertensi (tekanan tinggi) apabila usia mereka meningkat. Berlebihan berat badan atau kegemukan juga menyebabkan mereka menjadi lebih prihatin terhadap penampilan diri dan boleh menimbulkan perasaan rendah diri.

Kekurangan zat makanan

Kanak-kanak dianggap kurang mendapat zat makanan apabila mereka tidak mendapat cukup tenaga daripada makanan. Ini juga boleh mengakibatkan kekurangan pengambilan pelbagai nutrien penting. Kanak-kanak ini lebih mudah mendapat jangkitan dan selalunya tidak mencapai potensi pertumbuhan yang optimum.

Mengapa kanak-kanak mengalami masalah pemakanan?

Rakyat Malaysia boleh dikatakan hidup senang dan dimanjakan dengan banyak pilihan makanan. Jadi, mengapa masih ramai kanak-kanak kita yang mengalami masalah pemakanan? Sebab utama ialah tabiat makan yang tidak betul dan pengambilan makanan yang tidak seimbang. Ini berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang pemakanan di kalangan ibu bapa, dan juga kekurangan perhatian dan penjagaan ibu bapa.

Satu kajian yang dijalankan dua tahun lepas oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ke atas lebih 9,000 murid sekolah rendah berumur 7-12 tahun menunjukkan bahawa kanak-kanak di Malaysia mempunyai tabiat makan yang tidak sihat dan kurang melakukan aktiviti fizikal. Hasil kajian itu juga menunjukkan:

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak

1. Tidak mengambil sarapan

Satu dalam setiap tiga murid sekolah rendah tidak mengambil sarapan. Apabila anak-anak anda tidak mengambil sajian pertama yang penting dalam sehari, mereka tidak mendapat cukup tenaga untuk membolehkan mereka cerdas dan memberi tumpuan dalam kelas. Mereka juga menjadi lesu dan mudah merasa letih.

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak

2. Snek tidak sihat

Empat daripada sepuluh murid sekolah rendah mengambil snek setiap hari. Tabiat makan snek yang tidak sihat, sama ada mengambil snek terlalu hampir dengan waktu makan atau mengambil snek dengan kalori tinggi dan nutrien rendah seperti kentang goreng, coklat dan gula-gula, boleh mengganggu selera anak-anak untuk makan sajian yang sihat apabila tiba waktu makan.

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak

3. Gaya hidup santai dan kurang aktiviti fizikal

Dua daripada lima murid sekolah rendah tidak aktif. Semakin ramai kanak-kanak menghabiskan masa lapang mereka dengan aktiviti santai seperti menonton televisyen, membaca, dan leka dengan permainan komputer/elektronik. Tiada perbezaan besar antara kanak-kanak bandar dan luar bandar.

Tips Pemakanan Sihat Untuk Kanak – Kanak

4. Permulaan hari yang sihat

Jika anak anda cerewet makan, langkah pertama ialah kenal pasti punca masalah. Adakah mereka tidak mengambil sarapan? Kurang aktiviti fizikal atau kerap makan snek? Apabila sudah mengenal pasti puncanya, anda boleh mengambil langkah yang sesuai untuk menangani masalah ini.

Sebagai ibu bapa, anda memainkan peranan yang sangat penting untuk memperkasakan diri anda sendiri, supaya anda dapat menanamkan tabiat makan yang sihat di kalangan anak anda sejak kecil. Pelajari asas pemakanan yang baik dan turunkan pengetahuan ini kepada anak-anak anda.

Ajar anak anda memilih makanan mereka dengan bijak, serta mengamalkan tabiat makan yang sihat dan gaya hidup aktif sejak kecil. Ini akan memastikan mereka mempunyai asas yang kuat untuk membesar menjadi remaja dan orang dewasa yang sihat sepanjang hayat.

artikel asal: www.moh.gov.my

You Might Also Like

0 comments

LIKE US ON FACEBOOK